Hari ni sesat kat blog Mommy Lyna dan baca artikel berkaitan 20 Sebab Kenapa Tulis Blog. Hmmmm menarik. Ye la kadang kala kita tidak tahu hala tuju atau matlamat dalam melakukan sesuatu perkara. Daripada 20 sebab yang dinyatakan aku tertarik pada sebab yang ke-20 iaitu sebagai saham akhirat.
Sabda Rasulullah s.a.w "Apabila mati seorang anak Adam itu maka terhentilah amalnya kecuali 3 perkara, sedekah yang berjalan terus (sedekah amal jariah), Ilmu yang berguna dan terus diamalkan dan Anak yang soleh yang mendoakan baginya. Walaupun aku bukanlah seorang penulis yang bijak melontarkan idea dengan gaya bahasa yang memikat namun sebagai hambaNya yang dikurniakan akal fikiran Insyaallah aku akan cuba sebaik mungkin berkongsi ilmu yang sedikit untuk kebaikan bersama.
Teringat kata-kata arwah ibu yang selalu menuturkan ”jadi cikgu udah le” kerana tugas mendidik anak bangsa amatlah mulia. Bayangkan ilmu yang dicurahkan kepada murid-murid yang silih berganti saban tahun dan ianya terus digunakan dan dipanjang kepada generasi seterusnya. Subhanallah Maha Suci ALLAH. Betapa besarnya pahala yang diperolehi selagi pekerjaan itu diniatkan kerana ALLAH SWT. Namun usul itu aku tolak mentah-mentah sementelah aku merasakan bahawa diri ini tiada bakat untuk mengajar. Berdasarkan kepada pengalaman selalunya apabila memberi penjelasan berkaitan sesuatu perkara ia sukar difahami ataupun diterima oleh pendengar. Namun sebagai manusia yang kerdil di muka bumi ini, Allah SWT senantiasa memberikan jalan untuk manusia menyampaikan serta berkongsi ilmu yang dimiliki kepada insan lain. Blog ini adalah 1 daripada jalan itu dan semoga ianya akan dapat digunakan sepenuhnya untuk dijadikan bekalan di sana kelak. Amin.
No comments:
Post a Comment