MY IKLAN

MY IKLAN
Showing posts with label arTikel. Show all posts
Showing posts with label arTikel. Show all posts

Friday, December 9, 2011

Skim Baru.....

Assalamualaikum.....
Sana sini orang sibuk memperkatakan tentang Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) baik penjawat awam mahupun orang awam. Sebagai orang yang telah berikrar untuk menabur khidmat bakti kepada agama, bangsa dan negara sudah pasti pengedaran pekeliling yang bakal memberi jawapan pada 1001 persoalan yang bermain diminda amat dinantikan. Petang tadi bos dan teman2 yang berkaitan telah menghadiri taklimat berkaitan skim ini dan tak sabar rasanya nak tunggu hari isnin nanti. 

Pastinya perkara utama adalah berkaitan tangga gaji baru dan faedah-faedah yang bakal diterima oleh penjawat awam. Tapi pada saya apa yang lebih penting di sini intipati pelaksana SBPA itu sendiri yang mana ianya bertujuan untuk mentransformasikan perkhidmatan awam melalui 5 inisiatif iaitu Perkhidmatan Awam yang kejat (lean civil service), kepimpinan dinamik, modal insan berkualiti, Perkhidmatan Awam yang fleksibel dan saraan yang kompetitif. Jika dilihat sekarang ini pengambilan baru telah dibekukan namun saban hari bilangan penjawat awam akan bekurang kerana ada yang bersara wajib dan bersara pilihan. Ini menyebabkan beban tugas yang harus dipikul oleh penjawat awam semakin bertambah dan terus bertambah. 

Di samping itu juga ekspektasi stakeholder yang semakin tinggi menyebabkan penjawat awam tidak boleh terus mengamalkan budaya kerja lama yang mana waktu kerja 8-5 diselitkan dengan minum pagi, makan tengahari dan minum petang yang panjang. Ianya perlu dikurang dan setiap tugasan yang diberikan haruslah disiapkan dengan kadar segera dan tidak boleh ditangguh dan istilah nanti le dulu mesti dihapuskan. Apa yang selalu ditekankan kepada kakitangan dibawah seliaan saya adalah setiap hari kita akan dibayar gaji untuk 8 jam dan jika kita bekerja kurang dari itu pun gaji yang dibayar tetap sama. Jadi bahagiakah kita dengan duit yang diterima pada setiap bulan dan ianya merupakan rezeki yang digunakan untuk membesarkan anak-anak. Jadi beringatlah selalu dengan apa yang kita lakukan sewaktu bekerja, walaupun pegawai atasan tak tahu apa yang kita lakukan tapi Allah Maha Mengetahui.

Jika dulu penjawat awam dipandang tinggi dan dihormati tetapi tidak kini kerana penjawat awam adalah orang yang perlu memenuhi kehendak stakeholder. Setiap apa yang diutarakan oleh orang awam perlu diambil tindakan segera tanpa sebarang alasan. Jika lambat penjawat awam akan dipersalahkan dan dikatakan tidak efisien, birokrasi dan pelbagai kata nista akan dihamburkan. Bukan cuba untuk menyalahkan sesiapa tetapi apa yang cuba ditekankan adalah sebagai penjawat awam kita tidak boleh merasa terlalu selesa dengan kedudukan kita sekarang ini. Tidak mustahil suatu hari nanti kita boleh ditamatkan dalam perkhidmatan jika tidak menunjukkan prestasi kerja yang baik. 

Untuk mencapai matlamat Negara Maju sudah pasti memerlukan Perkhidmatan Awam yang bertaraf dunia sepertimana yang selalu ditekankan oleh KN Pulau Pinang. Bagaimanakah agaknya kakitangan kerajaan di Negara Maju melaksankanakan tugasan mereka? Jika kita tidak mampu untuk mengikut arus tersebut maka sukar untuk kita terus duduk dalam perkhidmatan yang diimpikan oleh ramai orang. Jadi bersyukurlah dengan apa yang telah kita perolehi dan janganlah mempersia-siakannya, laksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh istiqomah. 

Dapat dilihat sekarang ini fungsi-fungsi yang dulunya dilakukan oleh jabatan kerajaan telah diswastakan dan ketika ini juga sibuk diperkatakan bahawa orang luar (swasta) akan diambil bagi mengisi Jawatan JUSA dan Turus dalam Kerajaan. Jadi adakah kita perlu berasa selesa dengan kedudukan kita sekarang ini? Tepuk dada dan fikir-fikirkanlah. 



    Sunday, January 9, 2011

    APAKAH ITU KSSR?

    Assalamualaikum.....
    KSSR adalah merupakan singkatan kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah. Pertama kali mendengarnya adalah semasa mendengar taklimat yang diberikan oleh Guru Besar Sek. Keb. Seri Permai ketika Hari Orientasi Pelajar Tahun Satu yang lepas. Berdasarkan kepada taklimat tersebut difahamkan bahawa KSSR ini mula dilaksanakan pada Tahun 2011 bagi pelajar Tahun 1  dimana prestasi pelajar bukannya berdasarkan kepada markah peperiksaan 100% sebaliknya pelbagai kriteria akan diambilkira dalam membuat penilaian. Bagaimana ye? Dalam beberapa hari ini saya cuba mendapatkan sebanyak mungkin maklumat  berkaitan perkara ini namun tidak banyak yang diperolehi.

    Merujuk kepada artikel bertajuk KSSR Bakal Lahir Minda Kelas Pertama tulisan Dr. Aminudin Mansor di ruangan Minda Harian Metro bertarikh 30 Disember 2010, KSSR diperkenalkan bagi menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang telah lama dilaksanakan. Antara mata pelajaran baru diperkenalkan iaitu Pendidikan Seni dan Visual (PSV), Bahasa Cina, Bahasa Tamil dan Bahasa Arab (AST) yang akan diperkenalkan pada tahap satu.

    Manakala berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi daripada Portal Pendidikan Utusan, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, KSSR tidak akan menggantikan tetapi beriringan dengan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Melalui KSSR katanya, pengajaran dan pembelajaran akan menggunakan modul yang akan menggantikan buku teks oleh itu guru-guru sedang disedia dan dilatih untuk KSSR. Ia diharap dapat meningkatkan penguasaan murid-murid sekolah rendah khususnya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Pendekatan teknik pengajaran dan pembelajaran (P&P) akan menjadi lebih menarik dan interaktif di mana ia melibatkan penggunaan dua bahasa tersebut serta meningkatkan penguasaannya bagi guru-guru untuk mengajar dalam subjek Matematik dan Sains sejajar dengan matlamat kerajaan.

    KSSR yang akan  diperkenalkan pada 2011 dengan subjek yang lebih sedikit tetapi menggunakan pendekatan yang lebih interaktif. Kurikulum tersebut bakal menggabungkan beberapa subjek menjadi satu selain turut akan memperkenalkan satu subjek baru yang bertema semangat kenegaraan dan patriotik. KSSR akan mula diperkenalkan dan diterapkan kepada murid tahun satu kerana kesesuaian murid tersebut yang baru menduduki alam persekolahan atau peringkat awal pendidikan mereka. Penerapan dari peringkat awal akan membantu memudahkan perjalanan serta pembelajaran murid-murid tersebut yang akan melangkah ke tahun-tahun seterusnya sejajar dengan perubahan umur. 

    KSSR membahagikan mata pelajaran kepada tiga modul iaitu Modul Asas Teras, Modul Asas Tema dan Modul Asas Elektif. Tahap satu sekolah rendah (tahun 1 hingga 3) akan tertumpu kepada penguasaan 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul) serta kemahiran asas teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai. Sementara tahap dua sekolah rendah (tahun 4 hingga 6) akan tertumpu kepada pengukuhan dan aplikasi 4M, kemahiran asas ICT, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai.

    Saya bersetuju dengan harapan yang dinyatkan oleh Dr Aminudin Mansor semoga tahun 2011 akan menjanjikan perkembangan terbaru dalam bidang pendidikan di negara ini, khususnya bagi melahirkan modal insan yang beriman, berakhlak dan mempunyai jati diri yang unggul. Hanya di bahu merekalah kepimpinan negara pada masa hadapan terpikul dengan  penuh tanggungjawab dan bijaksana. 

    Namun sebagai ibu bapa sudah pasti perasaan gusar itu tetap wujud dalam diri kerana apa yang akan dilalui oleh anak-anak adalah pekara baru. Maklumat yang ada terlalu sedikit  dan tidak dapat menjawab persoalan yang berlegar di kotak fikiran kami. Diharapkan KPM mempunyai rangka kerja yang jelas dalam memastikan KSSR ini akan benar-benar dapat mencapai matlamat yang ditetapkan. Kita tidak mahu ianya  sekadar  ujikaji baru yang akan berubah di pertengahan jalan kerana implikasinya amat besar kepada semua.

    Sunday, January 2, 2011

    TIADA LAGI BEG PLASTIK

    Assalamualaikum....
    1 Januari 2011: Pulau Pinang tiada lagi beg plastik. Perkara ini telah oleh Kerajaan Negeri pada 2 November 2010. Langkah ini bertujuan bagi menjadikan Pulau Pinang sebagai Negeri Hijau yang pertama di Malaysia. Perkara ini telah dihebahkan secara meluas di negeri ini.  Disamping itu juga Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan Hari Tanpa Beg Plastik di seluruh Malaysia adalah pada hari Sabtu.

    Namun masih ada pengguna yang tidak mengambil serius akan perkara ini. Sebagai contoh aku le tu. Manakan tidak walaupun perasaan malas keluar rumah menguasai diri namun disebabkan iklan diakhbar menunjukkan bahawa terdapat potongan harga lampin pakai buang (tak mesra alam langsung) maka digagahkan jua untuk ke Tesco selepas solat zohor. Ketika sedang mencari tempat letak kereta (punya le susah) tiba-tiba teringat "alamak hari ni takde beg plastik". Hubby dengan slamber menjawab "beg ada kat belakang tu". Dalam hati " baguih sungguh laki aku ni".

    Persoalannya sejauh manakah kempen ini akan berjaya?

    Jika dilihat dari aspek tujuan kempen ini dilaksanakan adalah bagi mengurangkan kadar penggunaan beg plastik ataupun barangan plastik di muka bumi ini. Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Datuk Nadzri Yahaya, rakyat Malaysia menghasilkan lebih 19,000 tan sisa pepejal setiap tahun dan 24 peratus daripada jumlah itu adalah pastik. Plastik adalah bahan yang tidak mudah dilupuskan  dan mengambil masa berpuluh-puluh atau ratusan tahun untuk dilupuskan. Oleh itu, lebih baik penggunaannya dioptimumkan daripada membiarkannya terus menjadi sampah. 

    Jika perkara ini tidak ditangani segera bayangkan bagaimana keadaan bumi yang akan diwarisi oleh anak cucu kita kelak. Bumi yang tercemar!. Apakah ini yang kita inginkan? Pepatah ada mengatakan 'Prevention is better than cure' jadi fikir-fikirkan lah.
    ~Cantikkan~

    Bagi rakyat di negeri Pulau Pinang perkara ini mungkin sudah tidak menjadi masalah (cth: hubby aku le) kerana ianya telah dilaksanakan secara berperingkat 1 hari, 3 hari dan sekarang setiap hari. Aku yakin jika ianya telah menjadi budaya hidup pasti tidak akan timbul masalah lagi. Walau kemana kita pergi pasti kita akan membawa beg gunasemua. Tambahan pula pada masa ini terdapat pelbagai bentuk beg gunasemula yang memboleh tiada rasa segan/ malu untuk membawanya kemana-mana dan ada yang kelihatan stylo lagi gitu.

    Walau bagaimanapun kempen ini masih belum menyeluruh berikutan masih terdapat plastik-plastik yang digunakan di dalam pasaraya bagi membungkus dan menimbang barangan terutamanya di bahagian makanan. Marilah bersama-sama kita memikirkan kaedah sebaiknya bagi memastikan kempen ini terus berjaya. Tiada perkara yang mustahil di muka bumi ini. Jika dilihat dibeberapa negara maju makanan yang dibeli dibungkus di dalam beg kertas. Mungkin itu boleh dipraktikkan di Malaysia juga.

    Marilah bersama-sama kita meyokong kempen ini bagi mewariskan bumi yang tidak tercemar kepada anak cucu kita. 

    Pesanan: Kepada mereka yang ingin berkunjung ke Pulau Pinang sila bawa bersama beg untuk membeli belah demi untuk keselesaan anda.





    Saturday, January 1, 2011

    AZAM TAHUN BARU 2011

    Assalamualaikum........
    ~Alif dah masuk darjah 1~
    2010 telah melabuhkan tirainya dan 2011 telah pun menjelma. Setiap kali tahun bertambah angkanya sudah pasti setiap insan akan memasang azam untuk dicapai pada tahun berkenaan. Ada azam yang dicatatkan di dalam diari, dikongsi di blog dan ada juga hanya dipahat di kotak fikiran sahaja. Ada yang menyenaraikan azam sehingga berpuluh, ada yang hanya satu, dua dan entah berapa lagi. Bagaimana pula dengan anda apakah azam baru untuk tahun ini?

    Diantara azam yang paling kerap didengar daripada kaum adam adalah untuk berhenti merokok. Alhamdulillah ada yang berjaya dan ada juga yang hanya dijadikam azam tahunan semata-mata. Oleh yang demikian bagi memastikan azam yang dipasang berjaya dicapai kita perlu ada matlamat, strategi, disiplin dan keazaman diri yang tinggi. Disamping itu juga kita perlu menyemak kembali adakah azam tahun sebelumnya berjaya ataupun tidak. Jika telah berjaya tahniah diucapkan dan jika jawapannya TIDAK seharusnya kita  menyemak kembali punca-punca kegagalan itu agar ianya tidak akan mengggagalkan azam pada tahun ini.  

    Perlu diingatkan juga bahawa azam yang dipasang mestilah diseimbangkan antara dunia dan akhirat. Janganlah semata-mata mengimpikan kejayaan dan kebahagiaan di dunia sehingga membuatkan kita alpa dalam menyediakan bekalan menuju ke akhirat kelak.

    Berikut adalah tips dalam menjayakan azam tahun baru anda
    1. Matlamat - Tetapkan tempoh masa atau date line untuk azam tersebut dicapai.
    2. Strategi - Cara atau tindakan yang perlu diambil.
    3. Disiplin - Pastikan anda lakukan apa yang telah ditetapkan.
    4. Keazaman - Walau apapun halangan atau dugaan yang datang jangan putus asa.

    Sebagai contoh jika kita berazam untuk berhenti merokok pada tahun 2011 kita perlu menetapkan bilangan rokok yang perlu dikurangkan setiap hari sehingga mencapai hari sifar rokok. Berhenti secara mendadak adalah tidak digalakkan kerana dikhuatiri diri tidak dapat menerima situasi baru secara mengejut. Pastikan setiap hari anda muhasabah diri sebelum tidur bagi menyemak semada pelaksanaan strategi  dilakukan sebaiknya jika tidak apakah sebabnya. Pengambilan rokok harian mestilah mengikut bilangan yang telah ditetapkan sahaja dan ia perlu dilakukan secara berdisplin. Dan walau apa sekalipun dugaan yang datang kuatkan tekad anda. Insyaallah berkat usaha dan doa ianya akan berjaya.

    Di samping itu juga terdapat sesetengah orang yang memasang azam secara umum sahaja seperti  "pada tahun ini aku ingin berjaya dalam hidup". Ini haruslah dielakkan kerana jika secara umum kita tidak akan fokus dengan apa yang dilakukan. Azam yang di pasang mestilah fokus dan straight forward kerana jalan menuju ke arahnya akan lebih mudah. Sekian.

    Semoga azam tahun 2011 anda semua akan tercapai. Amin


    ***Azam saya untuk blog ini adalah untuk mempunyai bilangan n3 sekurang-kurangnya 365 pada 31.12.2011. Bilangan followers sebanyak 500. Boleh ke? ...........MALAYSIA BOLEH....... Semangat3x...

              

    Tuesday, December 28, 2010

    KATAKAN TIDAK PADA RASUAH

    Dakwaan bahawa Malaysia ‘diselimuti’ amalan korupsi dan gejala rasuah bagaikan benar apabila kedudukan Malaysia dalam senarai Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa jatuh dari kedudukan 47 dengan markah 5.1 pada 2008 kepada kedudukan 56 dengan markah 4.5 pada 2009. Setiap hari ada sahaja kes-kes rasuah yang dipaparkan didada-dada akhbar. Terbaru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan seorang pengarah jabatan kerajaan dan seorang pengurus kanan sebuah agensi kerajaan negeri kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah.

    Dimanakah silapnya? Siapakah yang harus dipersalahkan? Adakah ianya akan berterusan dan tidak dapat dibendung? Pelbagai persoalan berlegar di kepala apabila membaca berita-berita seperti ini.

    Pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan bagi menghapuskan rasuah di negara ini. Diantaranya adalah dengan mewujudkan NKRA Rasuah dengan menyenaraikan 26 inisiatif awal dan kajian mengenainya dilakukan bagi mendapatkan strategi dan taktik paling berkesan untuk membanteras amalan rasuah dan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa. Adakah ianya akan berjaya?

    Secara peribadi rasuah berpunca daripada kurang didikan agama, rasa tamak menguasai diri, jalan singkat untuk mengejar kemewahan, pelanggaran undang2/ peraturan, tidak pernah merasa cukup/ bersyukur dengan apa yang dikurniakan dan menjadi budaya kerja di sesetengah organisasi.

    Apabila punca masalah telah dikenalpasti maka jalan penyelesaian perlu dicari agar barah ini tidak terus merosakkan bangsa dan negara. Di antara langkah-langkah yang perlu diambil adalah:-
    1.                   Pendidikan ilmu agama seawal usia anak-anak amat penting
    2.                  Patuhi segala undang-undang/ peraturan walaupun dimana pun kita berada
    3.                  Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam memerangi rasuah
    4.                  Tiada pemberi maka tiada penerima
    5.                  Sebarkan secara meluas betapa buruknya rasuah dan kesan kepada agama, bangsa dan negara

    Dan yang paling penting kita hendaklah menjadi manusia yang sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan. Oleh yang demikian kita tidak akan mendapatkan benda yang di luar kemampuan kita dengan mengambil jalan singkat. Ingatlah bahawa sumber rezeki yang masuk ke dalam mulut kita akan menjadi darah dan daging dalam tubuh manusia. Sanggupkah kita menyuapkan makanan busuk ke dalam mulut anak-anak kita. Nauzubillah. Walau siapapun kita “RASUAH ITU HARAM”

    TAWAKAL JALAN TERBAIK HADAPI DUGAAN HIDUP

    Pagi tadi baca artikel ni kat ruangan agama Berita Harian Online. Ringkas namun itulah hakikat kehidupan. Copy & paste kat bawah ni untuk dijadikan rujukan dimasa akan datang.
     
    Setiap kejadian menimpa manusia pasti ada sebab serta mempunyai hikmah
    Oleh Khairunneezam Mohd Noor
    Sumber: Berita Harian; 2010/12/28
     
    KITA selalu mendengar keluh kesah sesetengah orang yang bertanyakan kenapa agaknya suratan kehidupan mereka begitu susah untuk memperoleh kesenangan dan begitu senang pula mendakap kesusahan.

    Mereka iri hati dengan keadaan orang lain yang ditakdirkan senang memperoleh kesenangan secara berterusan. Ada manusia yang hidup senang dan kaya raya, ada hidup susah dan melarat, ada dulunya senang tetapi kemudian hidup melarat.

    Hakikatnya, inilah asam garam dan pancaroba kehidupan yang harus diterima dengan hati terbuka. Sebagai khalifah di muka bumi, perlulah kita membuat analisis dan muhasabah. Berfikir secara waras bahawa ketentuan Allah SWT mempunyai seribu satu sebab yang terkandung hikmah dan pengajaran. Cuba nilai mengapa sesetengah manusia diberikan ujian terlalu hebat oleh Allah SWT? Mengapa sesetengah yang lain diberi rahmat dan rezeki yang tidak putus-putus?

    Setiap sesuatu dijadikan atau ditakdirkan-Nya itu pasti ada sebab dan mempunyai hikmah. Manusia hanya perlu bersyukur jika diberikan rahmat dan rezeki yang melimpah ruah.

    Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nahl, ayat 18)

    Begitu juga sebaliknya, manusia perlu terus-menerus bersabar andai diuji dengan dugaan demi dugaan. Setiap sesuatu ketentuan perlu dihadapi dengan waras, bijak, tenang, serta berserah tanpa kompromi atau bersyarat kepada Allah SWT.

    Tidak perlulah melihat dalam perspektif yang luas, lihat saja diri kita sendiri. Dalam banyak waktu, kita iri hati melihat sahabat yang nampak bahagia sepanjang masa dibanding kita tidak senang atau bahagia seperti mereka.

    Ini memang amalan manusia, suka membanding-bandingkan diri dengan orang lain. Cuba lihat rakan lain yang selalu dirundung kesukaran, kesakitan, kepayahan dan duka? Bandingkan nasib mereka dengan kita.

    Hanya dengan cara ini kita akan mengucap syukur Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya kita menyedari ketentuan nasib yang lebih baik dan senang berbanding mereka. Hakikatnya, manusia sukar untuk merasa puas.

    Oleh itu, sehebat mana ujian yang dihadapi hendaklah reda, bersyukur dan bertawakal kepada-Nya. Giatkan usaha dan berdoa supaya Allah memberikan petunjuk dan mengurniakan keadaan lebih baik daripada sebelum ini.

    Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun, maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)

    Akan tiba masanya, kalau tidak di dunia, Insyaallah di akhirat kelak, terbit sinar kebahagiaan dan rahmat-Nya menerangi kehidupan, berkat kesabaran serta keimanan menempuhi ujian demi ujian.

    Perlu diingat, sebanyak mana harta kemewahan dan kesenangan dianugerah Allah hendaklah disyukuri. Perlu juga diyakini segala nikmat diperoleh dengan izin Allah SWT, dan dengan kehendak Allah juga, boleh hilang dalam sekelip mata.

    Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan ‘kami telah beriman’ sedangkan mereka belum lagi diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah SWT mengetahui orang yang benar dan dan orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

    Ingatlah, setiap apa yang kita lakukan, baik mahupun tidak, akan tetap dihitung dan diberi balasan sewajarnya oleh Allah SWT.

    Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya), dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula.” (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

    Untuk itu, janganlah kita mudah mengeluh apabila berdepan dugaan hingga mudah syaitan menusuk jarum kebencian terhadap takdir Allah SWT. Kita menjadi lupa kepada Allah serta lupa kekuasaan dan pembalasan-Nya.

    Janganlah kita menjadi seperti kaduk naik junjung atau luncai yang terjun dengan labu-labunya sehingga dikatakan sebagai orang yang ‘kufur nikmat’. 
     
     

    Sunday, December 26, 2010

    RUMAH OH RUMAH

    Assalamualaikum....
    Rangan Wawancara Mingguan Malaysia bersama Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, S.M Mohamed Idris pada hari ini memaparkan isu Bencana Harga Rumah Menggila. Dapat disimpulkan bahawa dewasa ini harga rumah amat menakutkan terutamanya di Pulau Pinang dengan purata harga rumah 8 kali ganda purata isi rumah. Manakala di Kuala Lumpur pula purata harga rumah 6 kali ganda purata isi rumah. Tindakan segera perlu diambil kerana jika ini berterusan golongan berpendapatan sederhana tidak akan mampu memiliki rumah sendiri inikan pula golongan berpendapatan rendah. Dimanakah mereka-mereka ini akan tinggal. Diantara punca yang dikenalpasti adalah:-
    1. Ramai membeli hartanah semata-mata untuk pelaburan dan spekulasi pasaran yang akhirnya menyebabkan harga rumah melambung tinggi
    2. Sikap pemaju yang mengutamakan pelabur atau spekulator dalam urusan penjualan rumah
    3. Program Malaysia My 2nd Home 
    4. Pelbagai strategi pemasaran yang agresif oleh pihak bank

    Hasil kajian Institut Kajian Sosioekonomi dab Alam Sekitar (SERI), indeks harga rumah di seluruh negara tidak menampakkan tanda-tanda akan turun malah dijangka terus melonjak pada tahun-tahun akan datang.  Jika ini benar kesannya amat membimbangkan. Penempatan haram atau kawasan-kawasan setinggan akan bertambah, lebih ramai rakyat malaysia menjadikan jambatan sebagai tempat berteduh, timbul pelbagai masalah sosial kerana Rumahku Syurgaku sudah tidak wujud lagi. Pihak-pihak yang berkaitan silalah ambil tindakan segera dan sewajarnya bagi membendung masalah ini. Diantara tindakan-tindakan yang disarankan adalah:-
    1. PBT dan kerajaan negeri wajar memainkan peranan penting dan tegas dalam melaksanakan peraturan 
    2. Kerajaan memulakan dasar perumahan yang lebih spesifik untuk menyediakan perumahan mampu milik terutamanya di kawasan bandar
    3. Kerajaan seharusnya meningkatkan keuntungan hartanah bagi mereka yang menjual aset dalam jangka pendek
    4. Kerajaan seharusnya menghentikan penjualan hartanah kepada orang asing

    Thursday, December 23, 2010

    Maha Pencipta

    Assalamualaikum....
    Majalah Pa&Ma memang ditunggu2 pada setiap bulan. Walaupun masa untuk membacanya terlalu terhad dan kadangkala tidak boleh dihabiskan, yang penting susunan koleksi di rak lengkap. Keluaran bilangan 124: Januari 2011 amat menarik perhatian dengan paparan ekslusif berkaitan Rahsia Alam Rahim: Saksikan fenomena pembentukan janin saat pertemuan telur ibu dan sperma bapa hinggalah usia mencecah 36 minggu. Allah Maha Besar. Jangan ketinggalan untuk untuk mendapatkannya di pasaran sekarang.
    Berikut dikongsikan sedikit informasi yang terdapat dalam keluaran kali ini.
    ~Al-Quran ceritakan proses kejadian manusia~
    Menurut Datin Aminah Zakaria, pakar dalam bidang agama, proses kejadian manusia di dalam rahim ibu menurut Al-Quran seperti diterangkan dalam Firman Allah dalam Surah Al-Hajj ayat 5 yang bermaksud ".....kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan;"
    Proses kejadian manusia terbahagi kepada beberapa bahagian;
    1. Pertemuan antara sperma suami dan telur ibu - berada dalam bentuk air mani selama 40 hari.
    2. Kemudian menjadi segumpal darah selama 40 hari.
    3. Kemudian menjadi seketul daging selama 40 hari. Ketika ini Allah SWT menjadikan pancaindera dan menjadikan organ-organ dalaman. Semuanya terdapat dalam Firman Allah dalam Surah Ali'Imran ayat 6 yang bermaksud: "Dialah yang membentuk rupa kamu dalam rahim(ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya."
    4. Cukup empat bulan kandungan, Allah SWT memerintahkan Malaikat meniupkan roh. Semasa meniup roh, Allah perintahkan Malaikat menulis empat perkara di dalam qadar manusia iaitu rezeki, ajal, amalan baik/buruk, nasib bahagia/celaka. TEtapi tulisan ini semua berdasarkan apa yang manusia pilih bila dewasa kelak.
    5. Kemudian janin membesar sampai usia sembilan bulan dan lahirlah sebagai seorang bayi seperti Firman Allah dalam Surah Al-Taariq ayat 6 yang bermaksud: "Ia diciptakan dari air(mani) yang memancut (ke dalam rahim)."
    Subhanallah!!!!