MY IKLAN

MY IKLAN

Sunday, January 9, 2011

APAKAH ITU KSSR?

Assalamualaikum.....
KSSR adalah merupakan singkatan kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah. Pertama kali mendengarnya adalah semasa mendengar taklimat yang diberikan oleh Guru Besar Sek. Keb. Seri Permai ketika Hari Orientasi Pelajar Tahun Satu yang lepas. Berdasarkan kepada taklimat tersebut difahamkan bahawa KSSR ini mula dilaksanakan pada Tahun 2011 bagi pelajar Tahun 1  dimana prestasi pelajar bukannya berdasarkan kepada markah peperiksaan 100% sebaliknya pelbagai kriteria akan diambilkira dalam membuat penilaian. Bagaimana ye? Dalam beberapa hari ini saya cuba mendapatkan sebanyak mungkin maklumat  berkaitan perkara ini namun tidak banyak yang diperolehi.

Merujuk kepada artikel bertajuk KSSR Bakal Lahir Minda Kelas Pertama tulisan Dr. Aminudin Mansor di ruangan Minda Harian Metro bertarikh 30 Disember 2010, KSSR diperkenalkan bagi menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang telah lama dilaksanakan. Antara mata pelajaran baru diperkenalkan iaitu Pendidikan Seni dan Visual (PSV), Bahasa Cina, Bahasa Tamil dan Bahasa Arab (AST) yang akan diperkenalkan pada tahap satu.

Manakala berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi daripada Portal Pendidikan Utusan, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, KSSR tidak akan menggantikan tetapi beriringan dengan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Melalui KSSR katanya, pengajaran dan pembelajaran akan menggunakan modul yang akan menggantikan buku teks oleh itu guru-guru sedang disedia dan dilatih untuk KSSR. Ia diharap dapat meningkatkan penguasaan murid-murid sekolah rendah khususnya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Pendekatan teknik pengajaran dan pembelajaran (P&P) akan menjadi lebih menarik dan interaktif di mana ia melibatkan penggunaan dua bahasa tersebut serta meningkatkan penguasaannya bagi guru-guru untuk mengajar dalam subjek Matematik dan Sains sejajar dengan matlamat kerajaan.

KSSR yang akan  diperkenalkan pada 2011 dengan subjek yang lebih sedikit tetapi menggunakan pendekatan yang lebih interaktif. Kurikulum tersebut bakal menggabungkan beberapa subjek menjadi satu selain turut akan memperkenalkan satu subjek baru yang bertema semangat kenegaraan dan patriotik. KSSR akan mula diperkenalkan dan diterapkan kepada murid tahun satu kerana kesesuaian murid tersebut yang baru menduduki alam persekolahan atau peringkat awal pendidikan mereka. Penerapan dari peringkat awal akan membantu memudahkan perjalanan serta pembelajaran murid-murid tersebut yang akan melangkah ke tahun-tahun seterusnya sejajar dengan perubahan umur. 

KSSR membahagikan mata pelajaran kepada tiga modul iaitu Modul Asas Teras, Modul Asas Tema dan Modul Asas Elektif. Tahap satu sekolah rendah (tahun 1 hingga 3) akan tertumpu kepada penguasaan 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul) serta kemahiran asas teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai. Sementara tahap dua sekolah rendah (tahun 4 hingga 6) akan tertumpu kepada pengukuhan dan aplikasi 4M, kemahiran asas ICT, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai.

Saya bersetuju dengan harapan yang dinyatkan oleh Dr Aminudin Mansor semoga tahun 2011 akan menjanjikan perkembangan terbaru dalam bidang pendidikan di negara ini, khususnya bagi melahirkan modal insan yang beriman, berakhlak dan mempunyai jati diri yang unggul. Hanya di bahu merekalah kepimpinan negara pada masa hadapan terpikul dengan  penuh tanggungjawab dan bijaksana. 

Namun sebagai ibu bapa sudah pasti perasaan gusar itu tetap wujud dalam diri kerana apa yang akan dilalui oleh anak-anak adalah pekara baru. Maklumat yang ada terlalu sedikit  dan tidak dapat menjawab persoalan yang berlegar di kotak fikiran kami. Diharapkan KPM mempunyai rangka kerja yang jelas dalam memastikan KSSR ini akan benar-benar dapat mencapai matlamat yang ditetapkan. Kita tidak mahu ianya  sekadar  ujikaji baru yang akan berubah di pertengahan jalan kerana implikasinya amat besar kepada semua.

No comments: