MY IKLAN

MY IKLAN

Sunday, October 25, 2015

Pantai Pasir Tengkorak, Langkawi

Assalamualaikum w.b.t
Sebelum ini saya tidak pernah tahu akan kewujudan Pantai Pasir Tengkorak di Langkawi sehinggalah diarahkan untuk membuat pemeriksaan kerja-kerja pemasangan pagar di tempat tumpuan pelancong itu. Biasanya kalau bercuti di Langkawi saya akan menikmati keindahan pantai cenang dan melakukan aktiviti-aktiviti pantai yang disediakan.


Pertama kali melangkah masuk ke kawasan perkelahan ini saya terpegun dengan kejernihan air lautnya sehingga membuatkan saya teruja untuk terjun. Tapi apakan daya waktu itu sedang bertugas dan datang bersama rakan sepejabat dan kakitangan pejabat renj. Langkawi. Pantai ini terletak dalam kawasan hutan simpan Gunung Mat Chincang dan dibawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Kedah.


Pantainya yang landai, putih dan halus serta air laut yang hijau mengadap Laut Andaman memang menjadi tempat terbaik untuk dikunjungi. Kepulauan Siam jelas kelihatan memberi satu pemandangan yang indah. Kemudahan bilik mandi dan tandas serta tempat bbq memudahkan aktiviti perkelahan. Kelihatannya aktiviti berenang di sini amat menyeronokkan dan amat sesuai untuk berkelah bersama keluarga. 
 

Bagaimana Pantai Pasir Tengkorak mendapat nama? ikuti kisah yang dipetik daripada manuskrip lama.

Satu lagenda tempatan menceritakan perihal raksasa laut atau air pusar yang telah menenggelamkan banyak kapal dan mencampakkan tengkorak mangsa ke pantai ini.

Menurut satu lagi lagenda, satu pertempuran yang hebat di antara burung garuda dan jentayu berlaku di pulau berhampiran mengakibatkan banyak nyawa yang terkorban. Jasad para pahlawan yang terkorban telah banyak ditemui di pantai ini.

Secara faktanya pula, pada suatu ketik dahulu , kira kira 1930 an terdapat sebuah penjara di pulau Tarutao. Walaupun ramai banduan yang cuba melarikan diri, ia sukar dilakukan kerana banyak jerung dan buaya berkeliaran di perairan ini pada masa lampau. Banduan yang gagal biasanya akan lemas atau dibaham jerung dan jasad mereka terdampar di pantai ini.

Perairan ini juga dahulunya amat digeruni kerana lanun-lanun yang sering merampas kapal perdangangan dan mencampak mangsa ke laut. setengah mangsa yang mati dihanyutkan arus dan terdampr di pantai ini. Oleh kerana tengkorak mangsa berselerakkan di pantai ini, maka dipanggil orang pantai Pasir Tengkorak. Mudah-mudahan mangsa yang terkubur disini aman tenteram seperti mana indahnya pantai ini.


Jadi kepada anda yang berkunjung ke Langkawi, cari ruang untuk menikmati keindahan Pantai Pasir Tengkorak ini. Walau apa pun sejarahnya, keindahan dan keunikannya amat memukau mata yang memandang. In Shaa Allah saya akan ke sini untuk menikmati masa berkualiti bersama keluarga.



    No comments: