MY IKLAN

MY IKLAN

Tuesday, June 23, 2015

Mari Membaca

Assalamualaikum w.b.t

Entri kali ini lebih kepada peringatan untuk diri sendiri. Membesarkan 3 orang anak lelaki yang berusia 11 tahun, 6 tahun dan 2 tahun memang besar cabaran. Tambahan pula desakan kerja memerlukan kami untuk tinggal berasingan dan saya bergelar isteri dan mama hujung minggu. Setiap anak ada karekter yang tersendiri. Alif seorang yang pendiam, suka memendam rasa, pergaulan yang terbatas dan hanya bercakap bila perlu. Aqil seorang yang periang, talkative, mudah bergaul, berani dan memang kontra dengan abg longnya. Ariq dengan usia yang begitu muda saya tak boleh nak komen banyak, walaupun muka fotostat abg long tapi karekter lebih kepada abg cik. Jika saya berada di rumah sebelum tidur aqil akan minta supaya diajar membaca. Sebenarnya dia dah boleh membaca sendiri tapi kebiasaannya saya perlu menjawab soalan-soalan yang bakal diutarakan. Ariq pula biasanya akan menempel bersama dan dia akan membaca dalam bahasanya sendiri.Cuma kadang-kadang rasa terkilan sebab masa yang ada terlalu terhad dan permintaan aqil tidak dapat dipenuhi. Saya kongsikan artikel dari Berita Harian ini sebagai panduan untuk ibu bapa dalam mendidik anak-anak cintakan ilmu dan tanam sikap suka membaca.


Menurut Dr. Mastura Badzis, Pakar Perkembangan Pendidikan Kanak-Kanak yang juga Penolong Profesor di Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tabiat dan minat membaca perlu dipupuk sejak dari awal usia kerana ia adalah kunci utama pembudayaan ilmu. Perkara utama perlu difahami, pendekatan, kaedah dan teknik yang perlu dilaksanakan. Justeru, perlu gunakan kaedah bersesuaian dengan ciri-ciri semula jadi kanak-kanak dan mengikut tahap perkembangan mereka. Mengajar membaca bukan sekadar memperkenalkan huruf ABC kerana ia adalah simbol yang tidak memberi apa-apa makna kepada kanak-kanak. Membaca buka hanya pembelajaran mengenal huruf sebaliknya bagaimana menggunakan ‘print’ kerana sesuatu sebab.

Ibu bapa perlu memahami mengenai kebolehan membaca. Ia berkait rapat dengan perkembangan bahasa, keupayaan berkomunikasi dan penguasaan perbendaharaan kata. Membaca perlu difahami dalam konteks yang lebih luas ‘extensive’ kerana membabitkan kemahiran berfikir secara kreatif dan keupayaan menyelesaikan masalah.



Mengajar anak membaca tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa didahului dengan pemupukan minat membaca dan kesedaran mengenai konsep ‘print’ yang bermakna. Memaksa anak belajar dan membaca sebelum mereka bersedia hanya akan menghilangkan minatnya.

Persekitaran kita penuh dengan tulisan pada pakaian, kotak makanan, mainan, bekas peralatan mandi, poster, ‘flyers’, iklan TV, kad hari jadi, surat khabar, tanda arah, komputer dan lain-lain.

Kanak-kanak tidak faham mengenai fungsi simbol dan sesuatu yang tertera (print). Ia berasaskan pengalaman ketika berinteraksi dengan orang dewasa. Jika mereka diberi kefahaman buku dan sesuatu yang tercetak atau yang tertulis itu membawa makna, mempunyai tujuan tertentu, ia akan membantu kanak-kanak mendekati buku.

Minat membaca akan timbul secara semula jadi apabila mendapat pengalaman ‘membaca’ sebagai sesuatu yang menyeronokkan dan minat ini seharusnya dipupuk sejak bayi sehinggalah dia sendiri berkeinginan, sedia dan meminta untuk diajar membaca secara formal.


Sebagai contoh, seorang anak yang dipangku dan dipeluk ketika ibu atau penjaga membacakan buku cerita kepadanya akan mengaitkan buku dan cerita dengan kasih sayang, rasa selamat, rapat dengan penjaga dan suatu yang amat menyeronokkan. Ia menjadikannya ingin terus berdampingan dengan buku. Walaupun mungkin bermula dengan hanya melihat gambar ini akan membantunya belajar menumpukan perhatian, tekun dan prihatin.

Kemahiran awal perlu dipelajari sebelum ‘membaca’. Apabila pengalaman membaca menjadi sesuatu yang menyeronokkan dengan rangsangan daripada ibu bapa dan pendidik, sedikit demi sedikit kanak-kanak akan mula tahu cara untuk memegang buku, buka muka surat, tahu bila cerita bermula dan berakhir, lama kelamaan akan mula mengenal tajuk, pengarang, kulit buku dan juga akan menunjukkan kefahaman bahawa ‘print’ atau gambar juga memberi maksud tertentu.

Kepelbagaian pendedahan kepada pelbagai ‘bahan yang boleh dibaca’ daripada persekitaran akan menimbulkan kesedaran mereka bahawa sesuatu ‘yang bertulis’ menggambarkan kata-kata atau pemikiran yang kekal.

Mereka juga akan mula menyedari pelbagai jenis tulisan, ke atas, bawah, kiri kanan, kanan kiri dan sebagainya. Apabila ini berlaku, tanpa disuruh kanak-kanak akan mula mencuba ‘bercerita’ sendiri bila membelek-belek buku dan menyelak muka surat. Dia akan mula menunjuk kepada sesuatu huruf dan minat bila melihat namanya ditulis atau barang kepunyaannya dilabel.

Bila usianya semakin meningkat ke 4 hingga 6 tahun dan dengan rangsangan yang diberi, dia akan mencuba ‘menulis’ nombor telefon, senarai barang untuk membeli-belah dan sebagainya kerana ini adalah keinginan semula jadi kanak-kanak seusianya untuk ‘membuat tanda’ bagi membayangkan pelbagai contoh ‘print’ yang ada di sekelilingnya.


Akhirnya, kanak-kanak akan menyebut “mak, nak baca, ni macam mana?”. Inilah saat yang paling sesuai untuk mengajar membaca secara formal, bila kanak-kanak itu sendiri yang meminta untuk diajar, sebagai petanda yang dia benar-benar bersedia untuk diajar membaca kerana minat dan kefahamannya tentang konsepliterasi.

Seandainya anak diajar membaca dalam keadaan dirinya tertekan dan dipaksa serta tidak faham kenapa dia perlu ‘membaca’ - apatah lagi kalau disuruh duduk diam, belajar huruf dan bunyi, minat terhadap membaca tidak akan dapat dipupuk sebaliknya boleh meninggalkan kesan negatif terhadap emosi anak dan sikapnya terhadap kepentingan membaca.

INFO: Tip memupuk minat belajar membaca

  • Sediakan pelbagai peluang untuk anak menconteng, menulis, melakar, mewarna, mengecat sejak kecil.
  • Sediakan persekitaran yang kaya dengan bahan mencetak pelbagai bentuk dan jenis.
  • Membaca buku cerita dalam suasana interaktif. Komunikasi antara pengasuh, ibu bapa dan kanak-kanak.
  • Beri peluang untuk ‘perbincangan’ panjang.
  • Banyak menyoal sebagai cara menggalakkan perkembangan bahasa dan percambahan fikiran
  • Buat buku dengan kanak-kanak guna bahan terbuang.
  • Bantu kanak-kanak biasa dengan namanya contohnya menulis nama pada barang-barang kepunyaannya nantu kanak-kanak bezakan bunyi.
  • Wujudkan persekitaran membaca di rumah; ibu bapa sebagai contoh.
  • Sediakan pelbagai jenis buku, ‘soft toys dan permainan berbentuk buku sebagai daya tarikan kanak-kanak mendekati buku.
  • Mengumpul bahan bacaan bukan hanya untuk kanak-kanak membaca tetapi juga untuk orang dewasa membacakan untuk mereka.
  • Penggunaan kaset, audio dan kaset. 

    No comments: