MY IKLAN

MY IKLAN

Thursday, June 25, 2015

Maaf Dik Bukan Akak Taknak Bersedekah

Assalamualaikum w.b.t

Ahad lepas sedang asyik menyidai kain di halaman rumah kelihatan sebuah van lalu di jalan utama, fikir saya van menghantar pembantu rumah harian yang diminta oleh jiran tetangga. Saya meneruskan kerja tanpa mempedulikan keadaan sekitar. Tidak lama kemudian kedengaran orang memberi salam di rumah jiran dan semakin lama semakin hampir. Akhirnya si pemberi salam tiba dihadapan pintu pagar rumah saya, gadis berumur belasan tahun. Katanya dari pusat tahfiz, datang untuk mengumpul dana membina surau di pusat tahfiz (maaf saya lupa mencatatkan nama pusat tahfiz berkenaan). Saya hanya mampu berkata "maaf lain kali yea dik". Dengan rasa kecewa dia terus berlalu menuju ke rumah yang lain, kelihatan ada lagi 5-6 orang remaja perempuan yang berpakaian sopan dan sedondon memberi salam dari rumah ke rumah.


Maaf dik bukan akak taknak bersedekah/ menderma / berwakaf tetapi cara yang dilakukan membuatkan hati akak berasa was-was. Pada akak di usia sebegini bukan tugas kalian untuk mendapatkan dana bagi pihak sekolah. Akak bersimpati dan kasihan melihat kalian, jam 10.30 pagi dibawah panas terik mentari dalam bulan ramadhan, sepatutny pada masa ini kalian berehat setelah penat menghafal ayat-ayat suci al-quran (bedasarkan pembacaan, waktu yang paling elok untuk menghafaz adalah di awal pagi). Jika alasannya hari ahad sekolah bercuti adalah wajar kalian berehat bersama teman-teman atau keluarga tercinta. Bersedekah itu memang besar pahalanya dan ia adalah antara 3 perkara yang akan kita bawa selepas mati kelak tapi ada keraguan di hati akak. Bagi mengelakkan kalian terus melakukan perkara ini akak putuskan untuk tidak memberikan apa-apa sumbangan.

Lebih menyedihkan lagi sekitar jam 12.15 tengahari sedang kami bersedia untuk keluar membeli barangan dapur, seorang pelajar wanita mendekati saya dan menerangkan perkara yang sama. Sekali lagi saya memberikan jawapan yang sama dan terserlah kekecewaanya. Mungkin dia sudah penat menjelajah dari rumah ke rumah dan kekecewaan itu jelas kelihatan pada air mukannya. Dalam kereta kelihatan masih ada lagi yang setia memberi salam di kejiranan saya itu.


Kepada pihak sekolah pohon jangan gunakan pelajar untuk mengumpul dana, carilah kaedah atau platform lain yang lebih efisien. Antara kaedah yang boleh di perhalusi adalah:-

1. Bina Blog atau Website Sekolah
Sebarkan maklumat, aktiviti, perancangan di dalam blog atau website dan letakkan NO AKAUN sekolah atau pusat tahfiz anda. Saya yakin dengan cara ini pasti ramai dermawan-dermawan yang akan memberi sumbangan. Ianya tidak terbatas di Malaysia sahaja, seluruh dunia akan tahu mengenai sekolah tahfiz yang sedang diusahakan. Disamping itu juga cara ini begitu mudah kerana sumbangan akan diberikan dengan hanya klik dihujung jari disebabkan adanya kemudahan online banking. Blog atau websit perlu sentiasa dikemaskini dengan informasi terkini berkaitan pelajar dan sekolah kerana ia akan meningkatkan keyakinan para penyumbang untuk menambah dana sekolah.

2. Guna Media Sosial
Disamping itu juga media sosial seperti facebook, tweeter, instagram dan lain-lain boleh digunakan bagi mewar-warkan maklumat dan aktiviti sekolah. Sudah pasti dalam masa 1 minit ramai yang akan menerima maklumat dan ada antara mereka tidak was-was untuk menderma. Mudah untuk pihak sekolah melakukannya kerana tidak ramai kakitangan yang diperlukan untuk melakukan ini dan tidak mustahil pengasas/ pengetua boleh melakukannya sendiri kerana maklumat boleh disebarkan dimana-mana dan pada bila-bila masa.

3. Berkerjasama dengan Syarikat Koporat
Sebagaimana yang kita semua sedia maklum syarikat korporat mempunyai dana Corporat Social Responsibility (CSR), jika pihak pengurusan sekolah bijak meyakinkan syarikat-syarikat gergasi untuk menjadi penyumbang tetap pasti pihak sekolah tidak akan pening lagi untuk memikirkan masalah kewangan sekolah. Jika bernasib baik sekolah akan diambil sebagai anak angkat dan sudah pasti sumbangan akan diterima secara berjadual atau jika pihak sekolah memerlukan bantuan pasti mudah untuk diperolehi.

Sebenarnya banyak lagi cara yang boleh digunakan oleh pihak sekolah dalam mengumpul dana untuk meningkatkan kemudahan dan keperluan sekolah. Tapi tolonglah jangan guna para pelajar untuk membuat kutipan, kasihanilah mereka. Mereka inilah yang akan mencorak masa depan depan negara.

    No comments: