MY IKLAN

MY IKLAN

Tuesday, October 13, 2015

Kecemerlangan Malaysia Dalam Kejuruteraan Awam

Assalamualaikum w.b.t

Saya salin dan tampal berita ini dari BERNAMA kerana merasa berbangga dengan pengiktirafan yang diterima oleh Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB). Lebih membuatkan saya teruja adalah terdapat ahli pasukan projek yang saya kenali. Tahniah buat semua yang terlibat dalam menjayakan projek ini.

Sumber: @HalizaTV3London

Berita ini ditulis oleh Ismail Amsyar Mohd Said

LONDON, 10 Okt (Bernama) -- Malaysia, melalui Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), telah mengukir nama dalam 'Senarai Kemasyhuran Kejuruteraan Awam' selepas menjadi negara pertama dari Asia Tenggara dan negara ketiga di luar United Kingdom diberi penghormatan dengan anugerah berprestij Pingat Brunel.

JKSB, dimiliki sepenuhnya Menteri Kewangan Diperbadankan dan pemegang konsesi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS), dipilih oleh Institut Jurutera Awam (ICE), UK, berikutan kecemerlangannya dalam kejuruteraan awam bagi projek Jambatan Kedua Pulau Pinang, yang siap tahun lepas.

Pengarah Urusan JKSB, Datuk Ir. Dr Ismail Mohamed Taib berkata, Malaysia adalah negara ketiga menerima anugerah itu selepas Korea Selatan dan New Zeland sejak Pingat Brunel diperkenal pada 1995.

"Kami sangat berbangga untuk menerima anugerah ini kerana ia mengiktiraf kecemerlangan kejuruteraan awam, pencapaian dan sumbangan kepada profesion itu serta Institut Jurutera Awam," katanya pada majlis penyampaian anugerah itu di ICE di sini pada Jumaat.

Ismail juga berkata, anugerah Pingat Brunel itu adalah pengiktirafan ketiga diberikan kepada pemegang konsesi Projek Jambatan Kedua Pulau Pinang, yang mempromosi kelestarian dalam pembinaan dan operasi dengan kualiti tertinggi.

Anugerah antarabangsa pertama ialah Green Apple Award 2013 di UK dan yang kedua Anugerah Bintang Antarabangsa Untuk Kualiti di Geneva pada 2014, katanya.

Presiden ICE, Profesor David Balmforth menyampaikan anugerah itu kepada Pengerusi JKSB, Datuk Seri Ir. Mohd Noor Yaacob. Ketua Pegawai Kewangan JKSB, Darwis Abdul Razak dan perunding projek, Dr Robin Sham dari AECOM turut hadir.

Pingat Brunel mengiktiraf kecemerlangan dalam kejuruteraan awam di bawah kategori 'Hadiah Mempromosi Institusi dan Profesion Kejuruteraan Awam'.

Pengarah Kejuruteraan Pengetahuan ICE, Nathan Baker memberitahu pemberita yang Pingat Brunel adalah anugerah kecemerlangan kejuruteraan yang sangat berprestij.

"Ia adalah satu anugerah yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Anda perlu mencapai standard tertinggi untuk mendapatkannya. Anda perlu melalui proses penilaian sebaya yang sangat ketat dan mendapat anugerah itu memang amat berprestij.

"Ia sebenarnya mengenai memahami kecemerlangan dalam kejuruteraan berbanding kecemerlangan dalam bidang tertentu. Anuegerah itu diberikan kepada yang terbaik di dunia," katanya.

Baker berkata, anugerah tahunan itu menimbang beberapa projek dalam sfera yang lebih luas kejuruteraan awam, termasuk jambatan, empangan dan jalan kereta api.

Sementara itu, ICE dalam satu kenyataan, memuji Jabatan Kedua Pulau Pinang dengan berkata, projek itu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di Malaysia.

Menurutnya, jambatan yang berdaya tahan seismik dan tsunami itu akan dapat menyelamatkan banyak nyawa pada masa depan kerana terletak di rantau yang cenderung berlaku bencana alam.

Jambatan itu, yang terpanjang merentasi laut dalam sejarah pembinaan jambatan mutakhir ini, adalah projek kejuruteraan awam yang boleh dijadikan contoh, mengatasi banyak cabaran reka bentuk dan pembinaan, kata institut berkenaan.

Projek sepanjang 24 kilometer itu menjadi perintis penggunaan beberapa kaedah inovatif dalam reka bentuk dan pembinaan, termasuk perancangan ketahanan, pengekosan kitaran hayat dan pengurangan jejak karbon, yang mengukuhkan semua aspek projek, katanya.

-- BERNAMA





    No comments: